Jumaat, 29 Januari 2016

Pendidikan Moral [M4]

Bidang 1 : Nilai Berkaitan dengan Perkembangan Diri

1.4 Nilai : Bertanggungjawab


Maksud : Kesanggupan diri seseorang untuk memikul dan melaksanakan tugas serta 
               kewajipan dengan sempurna.


Kata kunci :
(i).   memikul tugas
(ii).  melaksanakan tugas

TINGKATAN 4

Latihan :

Soalan 1



(a) Apakah yang anda faham dengan pengurusan masa?
     Pengurusan masa bermaksud merancang masa secara bijaksana dan bertanggungjawab iaitu
     menguruskan masa untuk belajar, melakukan aktiviti kokurikulum, bersama-sama anggota
     keluarga, beristirahat dan juga masa untuk diri sendiri. 

(b) Apakah kepentingan menguruskan masa secara bertanggungjawab?
     i.   dapat mengurus dn menjalankan segala aktiviti yang dirancang dengan teratur dalam masa 
          yang ditetapkan.
     ii.  dapat mengisi masa lapang dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah.
     iii. dapat mengelakkan pembaziran masa.
     iv. dapat mengelakkan kerja tertangguh dan memperoleh kepercayaan daripada guru, 
          rakan-rakan dan ibu bapa untuk melakukan sesuatu perkara.   

(c) Pernahkan anda menguruskan masa secara terancang? Apakah kesannya?
     Saya tidak pernah menguruskan masa secara terancang. Kesannya adalah seperti berikut:
     i.   semua kerja tidak dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.
     ii.  banyak kerja tertangguh
     iii. berlaku pembaziran masa dan kita tidak mendapat kepercayaan daripada guru-guru, 
         rakan-rakan dan ibu bapa untuk melakukan sesuatu kerja.

(d) Sebagai seorang remaja yang bertanggungjawab, bagaimanakah anda menguruskan masa?
      i.  membuat jadual waktu persendirian untuk belajar di rumah dan melakukan aktivti 
          kokurikulum disekolah.
     ii.  melaksanakan perkara yang dirancang dalam jadual waktu tersebut.

Selasa, 26 Januari 2016

Pendidikan Moral [M3]

Bidang 1 : Nilai Berkaitan dengan Perkembangan Diri

1.3 Nilai : Harga diri

Maksud : Keupayaan dan keyakinan diri agar mampu memulia dan menjaga 
               maruah diri dalam kehidupan.

Kata kunci :
(i).   memuliakan maruah diri
(ii).  menjaga maruah diri

TINGKATAN 4

Latihan :

Soalan 1


Calvin dan Albert ialah dua orang peminat bola sepak. Mereka sentiasa mengikut perlawanan 
bola sepak yang melibatkan pemain pujaan mereka. Kebetulan, pemain pujaan mereka akan 
beraksi melalui siaran langsung televisyen. Walau bagaimanpun, pada kali ini, perlawanan 
tersebut berlangsung serentak dengan waktu persekolahan. Albert mengajak Calvin ponteng 
sekolah untuk menyaksikan perlawanan itu. Calvin menolak ajakan Albert walaupun dia 
sendiri berasa hampa kerana tidak dapat menyaksikan pemain pujaannya. Dia juga menasihati 
Albert supaya tidak ponteng sekolah.

1. Apakah pandangan anda terhadap sikap Calvin? Jelaskan.
    Pada pandangan saya, Calvin seorang yang mempunyai harga diri yang tinggi kerana dia 
    dapat menolak aakan Albert untuk ponteng sekolah.

2. Mengapakah Calvin berupaya menolak ajakan Albert?
    Calvin berupaya menolak ajakan Albert kerana dia :
    i.    mengetahui bahawa ponteng sekolah ialah perbuatan yang menyalahi peraturan sekolah.
    ii.   dia mementingkan ilmu
    iii.  berupaya membuat pertimbangan terhadap baik buruknya melakukan sesuatu perkara.
    iv.  mempunyai harga diri.

3. Andaikan anda rakan Calvin. Bagaimanakah cara anda memberi sokongan kepada Calvin
    supaya dia kekal dengan pendiriannya itu?
    Andaikan saya rakan Calvin, saya akan sentiasa memberi galakan dan sokongan atas
    tindakannya tersebut.

4. Andaikan anda guru Calvin dan mengetahui perkara ini. Anda juga tahu bahawa selama ini
    Calvin tidak mudah dipengaruhi oleh amalan-amalan yang negatif. Cadangkan cara anda boleh
    memberi pengiktirafan kepada Calvin.
    Andaikan saya ialah guru Calvin, saya akan memberitahu semua pelajar di dalam kelas saya
    tentang sikap terpuji Calvin tanpa menjejaskan harga diri Albert agar dapat dicontohi oleh
    pelajar lain. 

(Pelajar harus menggembangkan jawapan mengikut peruntukan markah)

Pendidikan Moral [M2]

Bidang 1 : Nilai Berkaitan dengan Perkembangan Diri

1.2 Nilai : Amanah

Maksud : Sikap bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kepercayaan
               dan keyakinan orang lain.


Kata kunci :
(i).   sikap bertanggungjawab boleh menimbulkan kepercayaan
(ii).  menimbulkan keyakinan

TINGKATAN 4

Latihan :

Soalan 1


Dalam satu sekatan jalan raya yang diadakan, Wilson telah ditahan oleh polis kerana tidak
mengikut peraturan lalu lintas semasa memandu. Wilson juga didapati tidak memiliki lesen
memandu. Dia merayu kepada pegawai polis itu supaya tidak mengambil sebarang tindakan
terhadapnya. Pegawai polis itu tidak menghiraukan rayuannya dan terus mengeluarkan saman.

1. Apakah kesalahan yang dilakukan oleh Wilson?
    Kesalahan yang dilakukan oleh Wilson ialah :
    i.  memandu tanpa lesen
    ii. tidak mematuhi peraturan lalu lintas

2. Bersetujukah anda dengan tindakan pegawai pois itu? Jelaskan.
    Saya bersetuju dengan tindakan pegawai polis itu kerana Wilson melakukan dua 
    kesalahan jalan raya.

3. Andaikan pegawai polis itu ialah bapa saudara Wilson. Wajarkah pegawai polis itu melepaskan
    Wilson? Beri sebab.
    Walaupun pegawai polis itu bapa saudara Wilson, dia tidak wajar melepaskan Wilson kerana 
    dia perlu menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan penuh tanggungjawab. 

(Pelajar harus menggembangkan jawapan mengikut peruntukan markah)

Isnin, 18 Januari 2016

Manusia Luarbiasa

Memotivasikan Diri Sendiri

Ramai dalam kalangan kita sentiasa mencari alasan untuk mengelakkan diri daripada
membuat sesuatu tugasan. Inginkan Zon Keselamatan. Tetapi saya terpegun dengan tokoh-tokoh
dibawah. Pelajar boleh mencontohi nilai kerajinan mereka.

Maksud nilai kerajinan (untuk pelajar pendidikan moral).
Usaha yang berterusan penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi
dan berdaya maju dalam melakukan sesuatu pekara.

Kata kunci :
  • usaha yang berterusan
  • penuh dengan semangat ketekunan / kecekalan / kegigihan / dedikasi / berdaya 

 (a) Nick Vujicic
      Nick Vujicic tinggal di Melbbourne, Australia tidak mempunyai tangan dan kaki.
      Sikap kerajinannya menyebabkan beliau memiliki dua ijazah dan menjadi jagoh
      renang. Beliau sangat aktif dalam bidang muzik, permainan dan pendidikan.
      Beliau mengakui bahawa faktor minat dan usaha berterusan mengerakkannya.
      Banyak buku-buku beliau ada di pasaran. Selain itu, ada banyak maklumat
      tentang beliau di youtube.



https://www.youtube.com/watch?v=_2mJGqNnzxA

(b) Jessica Cox
      Jessica Cox tidak mempunyai kedua-dua tangan tetapi menjadi pilot bertauliah. 
      Beliau adalah wanita pertama dunia yang boleh memandu kapal terbang khas,
      tanpa menggunakan kedua belah tangan. Jessica Cox yang berasal dari Amerika
      Syarikat telah membuktikan kepada kita bahawa nilai kerajinan boleh menempoh
      segala halangan.


 https://www.youtube.com/watch?v=b2IqpPSF9-U

Sabtu, 16 Januari 2016

Eat That Frog

Makan Katak Hodoh Dahulu

Dialog bersama pelajar 
Guru : Kenapa tak buat kerja rumah?
Pelajar : Tak ada masa cikgu. Kena pergi tuisyen. Banyak lagi aktiviti sekolah.

Beginilah rungutan pelajar pada setiap hari. Bagi menyelesaikan masalah ini
para pelajar boleh menggunakan idea Brian Tracy.

Idea ini boleh anda baca dari buku Brian Tracy (2013). Eat that frog (Edisi Bahasa Melayu).
PTS. Kuala Lumpur. Anda boleh pinjam dari perpustakaan di sekolah anda.

 Cadangannya :

1. Bahagikan kerja yang besar kepada beberapa kerja yang kecil.
    Kemudian, buat kerja-kerja kecil itu satu per satu sehingga siap kesemuanya.

2. Buat kerja-kerja yang kecil satu per satu.
    Selepas siap satu kerja rehat seketika dan teruskan kerja kembali.

Beliau menyatakan bahawa penulis bestseller pun hanya berazam menulis satu halaman ataupun
satu perenggan sahaja pada satu hari sehingga buku itu selesai. Buat satu soalan objektif sahaja
sehari atau satu soalan struktur sahaja bagi satu mata pelajaran. Cuba bayangkan jika anda
lakukan selama 30 hari, 3 bulan, setahun. Sudah pasti anda akan berjaya.

Selain itu, tonton video di bawah dan belajar cara menggunakan teknik A, B, C, D. Brian Tracy.

 https://www.youtube.com/watch?v=FKOMTZ7PPLg&spfreload=10

Para pelajar boleh terokai teknik-teknik lain.

Kedah-e Tutor

Pendidikan Moral

Kerajaan negeri Kedah telah menyediakan Laman Sesawang Kedah-eTutor untuk
membantu para pelajar negeri Kedah bagi mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
Para pelajar harus menggunakan kemudahan ini untuk meningkatkan lagi pemahaman
anda tentang subjek yang diajar di sekolah.

Pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran Pendidikan Moral, cikgu nasihatkan
supaya menonton video-video ini sebelum ke kelas Pendidikan Moral. Anda pasti akan
memahami dengan jelas. Ingat ... usaha adalah tangga kejayaan.



Selamat Mencuba dan Selamat Belajar.

Khamis, 14 Januari 2016

Ekonomi Asas [M3]

Aliran Pusingan Pendapatan Dalam Ekonomi Dua Sektor

Pelajar dinasihatkan supaya memahami konsep-konsep berikut, sebelum melukis
aliran pusingan pendapatan ekonomi dua sektor.

1. Unit-unit ekonomi (dua sektor)
    (a) Isi rumah
    (b) Firma

2. (i) Aliran Fizikal 
        (a) Isi rumah menawarkan faktor-faktor pengeluaran (tanah, buruh,
             modal dan usahawan).
        (b) Firma menawarkan barang dan perkhidmatan.

     (ii) Aliran Wang 
          (a) Firma membayar ganjaran faktor (upah, faedah, sewa dan untung)
          (b) Isi rumah membeli barang dan perkhidmatan (perbelanjaan)  

3. (i) Pasaran Barang
        (a) Firma menawarkan barang dan perkhidmatan.
        (b) Isi rumah membeli barang dan perkhidmatan (perbelanjaan)  

    (ii) Pasaran Faktor  
         (a) Isi rumah menawarkan faktor-faktor pengeluaran (tanah, buruh,
              modal dan usahawan).
         (b) Firma membayar ganjaran faktor (upah, faedah, sewa dan untung) 

Sila tonton video berikut beberapa kali supaya anda dapat memahami dengan jelas.

(Terima kasih : Cikgu Mahani)

Latihan :

 1. Beri dua perbezaan antara Aliran Fizikal dengan Aliran Wang dalam aliran pusingan
     pendapatan ekonomi dua sektor.  [ 4 markah ]

2. Maklumat berikut berkaitan dengan aliran pusingan pendapatan ekonomi dua sektor.
    Syarikat Utara Berhad mengeluarkan basikal jenama Putra. Encik Hisham bekerja
    sebagai kerani di syarikat tersebut dan menerima upah sebanyak RM1 000 sebulan.
    Dia membeli sebuah basikal keluaran syarikatnya dengan harga RM200.

    Lakarkan rajah aliran pusingan pendapatan tersebut.       [ 8 markah ]

3. Situasi di bawah berkaitan dengan aliran pusingan pendapatan ekonomi dua sektor.
    Encik Joshua bekerja sebagai pengurus pemasaran dan menerima gaji sebanyak 
    RM6 000 daripada Firma Anggun.
    Firma Anggun mengeluarkan perabot jati dan Encik Joshua membeli satu set perabot
    berharga RM4 000 daripada Firma Anggun.

    Lakarkan rajah aliran tersebut.    [ 6 markah ]

Ekonomi Asas [M2]

Keseimbangan Pasaran

Ramai dalam kalangan pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran Ekonomi Asas,
tidak menguasai konsep asas ekonomi. Oleh itu, saya menasihatkan para pelajar
supaya menghafal dalam bentuk ayat-ayat mudah dan menjawab dalam bentuk ayat demi
ayat. Lihat contoh di bawah :

(iii) Jelaskan keadaan pasaran barang tersebut pada tingkat harga RM30. [3markah ]  
      Pada tingkat harga RM30, kuantiti diminta ialah ......... unit.
      Pada tingkat harga RM30, kuantiti ditawar ialah ......... unit.
      Pasaran mengalami lebihan ........................ sebanyak .............. unit.
      Hal ini menyebabkan harga cenderung ....................
(Hafal ayat-ayat di atas dan ubahsuai mengikut kehendak soalan).


(iii) Jelaskan pembentukan keluk permintaan di 1(ii).  [ 4 markah ]
      Pada tingkat harga RM ......., kuantiti diminta ialah ....... unit, iaitu pada titik .......
      Pada tingkat harga RM ......., kuantiti diminta ialah ....... unit, iaitu pada titik .......
      Pada tingkat harga RM ......., kuantiti diminta ialah ....... unit, iaitu pada titik .......
      Apabila titik-titik ........, ........., dan ........ disambungkan, maka tertentuk
      keluk permintaan.
(Ubahsuai jawapan ini untuk pembentukan keluk penawaran, keluk permintaan pasaran
  dan keluk penawaran pasaran)

(Rujuk buku kertas soalan peperiksaan sebenar SPM Ekonomi Asas)

Selasa, 5 Januari 2016

Ekonomi Asas [M1]

Latihan 
Saya nasihatkan pelajar supaya meluangkan masa untuk menjawab 3 soalan berikut. 
Dengan ini pelajar dapat mengusai permintaan pasaran, penawaran pasaran dan
keseimbangan pasaran.

Soalan 1 :

Jadual dibawah menunjukkan permintaan terhadap suatu barang.

Harga (RM)                      Kuantiti Diminta (Unit)
                                 Amani                        Mokhtar
    20                             12                              16
    30                               8                              12
    40                               4                                8

(i) Berapakah kuantiti permintaan pasaran pada tingkat harga RM30?  [ 1 markah ]
(ii) Lukiskan pembentukan keluk permintaan pasaran di atas kertas graf dengan
     menggunakan skala 2 cm : 8 unit pada paksi kuantiti dan skala 2 cm : RM10
     pada paksi harga.  [ 8 markah ]
(iii) Jelaskan pembentukan keluk permintaan di 1(ii).  [ 4 markah ]


Soalan 2 :

Jadual dibawah menunjukkan penawaran terhadap suatu barang.

Harga (RM)                      Kuantiti Ditawarkan (Unit)
                                  Firma A                    Firma B
    20                               4                              8
    30                               8                            12
    40                              12                           16

(i) Berapakah kuantiti penawaran pasaran pada tingkat harga RM30?  [ 1 markah ]
(ii) Lukiskan pembentukan keluk penawaran pasaran di atas kertas graf dengan
     menggunakan skala 2 cm : 8 unit pada paksi kuantiti dan skala 2 cm : RM10
     pada paksi harga.  [ 8 markah ]
(iii) Jelaskan pembentukan keluk penawaran di 2(ii).  [ 4 markah ]


Soalan 3 :

Gunakan kertas graf untuk menjawab soalan ini.
Jadual di bawah menunjukkan kuantiti permintaan dan kuantiti penawaran suatu
barang di pasaran.


Harga (RM)                                  Kuantiti Barang (Unit)
                                 Permintaan Pasaran          Penawaran Pasaran                  
    30                                     160                                 40
    40                                     130                                 70
    50                                       70                                130

(i) Lukis keluk keseimbangan pasaran di atas kertas graf yang disediakan.
    [Gunakan skala 2 cm : RM10 pada paksi harga dan 2 cm : 20 unit
      pada paksi kuantiti]   [ 5 markah ]
(ii) Tentukan harga dan kuantiti keseimbangan pasaran barang tersebut. [ 2 markah ]
(iii) Jelaskan keadaan pasaran barang tersebut pada tingkat harga RM30. [3markah ]

Jumaat, 1 Januari 2016

Sistem Pengurusan Pembelajaran - SPP (LMS)

Ekonomi Asas (Tingkatan 4 dan 5)

Berikut adalah pautan laman sesawang yang disediakan oleh pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia untuk membantu para pelajar. Para pelajar hendaklah menggunakan bahan-bahan
ini untuk mendalami pemahaman anda.

Langkahnya mudah sahaja. Sila daftar diri anda untuk mendapatkan kata laluan.
Perkhidmatan ini adalah secara percuma. Pelajar juga boleh melayari laman ini untuk
subjek-subjek lain. Jangan risau tentang halangan awal. Cuba sehingga anda boleh
melayarinya. Laman ini amat menarik.